Tuesday, October 20, 2009

Belajar pengalaman politik Nepal


Di mana-mana pun di Nepal, rakyatnya mengenali Malaysia. Ada penduduk Nepal yang berseloroh dengan penulis dengan berkata, Malaysia Truly Asia, I Love Malaysia, atau, ''anda boleh bayar dengan Ringgit Malaysia (RM)," kata seorang penjaja wanita ketika menghulurkan seutas rantai tembaga bertakhta batu Gurkha berharga RM10 selepas tawar-menawar di tangga mendaki kuil di Patan.

Bagi warga Nepal yang telah bertahun-tahun bekerja di Malaysia, maka segala ceruk lorong di Kuala Lumpur, Jalan Tuanku Abdul Rahman sehingga ke Jalan Bukit Bintang dan Jalan Petaling, diberikan gambaran seolah-olah Wall Street, Oxford Street atau China Town Amerika Syarikat (AS) - dunia mewah dan peleseran bagi yang kaya dan terkenal.

Perkataan seperti Touch and Go (TnG) serta Smart Tag, lebuh raya enam lorong - malah rutin membayar tol - juga meniti bibir penduduk di sana, dan semahu-mahunya mereka mahu gaya hidup harian 'hebat' di Malaysia itu dibawa ke sana.

Itulah yang diceritakan oleh para pekerja dari Nepal kepada anak-anak mereka tentang legasi Malaysia setelah dua atau tiga tahun bekerja di Malaysia.

''Malangnya di sini belum ada kesungguhan politik dan kemampuan kewangan, lihatlah sahaja keadaan jalan raya dan sistem (kehidupan) yang ada di Nepal," kata penduduk kelas pertengahan di Nepal, Karisha Kunwar kepada penulis yang berada di negara itu baru-barui ini.

Nama tempat seperti Sunway Lagoon, kondominium di Pandan Mewah dan beberapa tempat lain juga meniti bibir beliau, yang mendakwa telah beberapa kali datang ke Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

Ketika tiba di Kathmandu, penulis disambut oleh kekotoran, longgokan sampah sarap, najis (haiwan dan manusia), ludah, kahak ada di merata-rata tempat. Lebih dahsyat senario itu ketika tiba musim panas - ditokok tambah dengan debu jalanan yang berterbangan. Bunyi hon motosikal dan kereta cukup memekakkan telinga.

Pengalaman yang sama turut dilalui oleh 32 pelajar Jurusan Jurubina, Bangunan dan Rekabentuk Kolej Taylors serta tiga pensyarah yang memilih Nepal sebagai destinasi untuk Minggu Aktiviti 2009: Lembah Kathmandu, Nepal, yang bertema Perjalanan Pemuliharaan Warisan. Sekurang-kurangnya mereka bersyukur kerana dilahirkan dan membesar di Malaysia.

Perjalanan daripada Kathmandu ke Pokhara yang sejauh 200 kilometer mengambil masa lapan jam kerana keadaan jalan rayanya yang daif, sedangkan jarak yang sama - Ipoh ke Kuala Lumpur hanya dua jam melalui lebuh raya - dengan jarak yang sama.

Mungkin keindahan gunung-ganang, kemuncak berlitup salji, ribuan kuil Hindu dan Buddha, sayup-sayup mantera sami Buddha serta sejuk dan segar udara di negara dalam dakapan Himalaya itu belum cukup untuk memberi ilham kepada rakyatnya untuk menentukan masa depan politik yang lebih terjamin, apatah lagi impian menikmati kehidupan yang lebih selesa seperti Malaysia.

Bagi rakyat jelata seperti seorang usahawan pelancongan, Krishna Kunwar - serta rakannya seperti Pradip Lama, seorang kakitangan awam dan penganggur, Amir Khan - mereka mahu raja berhati rakyat seperti ketika Nepal di bawah Dinasti Rana terus memegang tampuk pemerintahan setelah melihat beberapa persengketaan pendapat antara pakatan tiga parti yang nampaknya tidak berkesudahan selepas pilihan raya Dewan Perwakilan Nepal pada April tahun lalu.

Di Nepal, gabungan tiga parti minoriti yang memerintah iaitu The Unified CPN (Maoist), Parti Kongres Nepal (NC) dan Parti Komunis Leninist-Marxisme Bersatu (UML) kini masih kabur tentang setakat mana mereka boleh bekerjasama kerana perbezaan ideologi, serta keinginan untuk menegakkan ideologi baru, sementara sebahagian lagi mahu mengekalkan pengaruh dan kuasa yang sedia ada.

Sejak Raja Gyanendra menjadi pemerintah Nepal pada 2001 selepas kematian abangnya, Raja Birendra, negara di pergunungan Himalaya itu tidak pernah sunyi daripada pergolakan.

Mendiang Raja Birendra mati dalam satu pembunuhan di istana diraja oleh anak beliau yang juga Putera Mahkota Nepal. Putera berkenaan telah membunuh seluruh ahli keluarganya dan menembak dirinya sendiri selepas itu.

Malangnya, Raja Gyanendra yang digulingkan rakyat tidak popular, apatah lagi selepas tragedi berdarah di istana yang menyaksikan pembunuhan keluarga diraja sebelum Gyanendra, satu plot yang masih menjadi misteri - walau pun kenyataan istana mengaitkannya dengan masalah keluarga dan halangan percintaan oleh raja dan bonda.

Dalam pilihan raya November tahun lepas, mereka telah memilih untuk menghapuskan terus sistem beraja - termasuk melenyapkan wajah raja pada muka siling 10 rupee.

Tiga parti terbesar yang membentuk pakatan perlu bersepakat dalam tiga isu utama iaitu kuasa rakyat, bidang kuasa presiden serta perdana menteri dan kawalan kerajaan ke atas tentera Nepal.

Pada dasarnya mereka telah mencapai kesepakatan supaya kuasa eksekutif diletakkan di bahu Perdana Menteri, sementara presiden terus menjadi ketua perlembagaan negara.

Sejak peristiwa tersebut, rakyat terus hilang kepercayaan terhadap Raja Gyanendra yang turut dikaitkan dengan tragedi berdarah itu.

Pelantikan Girija Prasad Koirala pada usia 84 tahun sebagai Perdana Menteri Nepal dipersetujui oleh tujuh parti politik utama di negara berkenaan.

Koirala kini berhempas pulas untuk meneutralkan tekanan khususnya daripada Moist yang ternyata mendapat tempat di hati rakyat miskin dan luar bandar di Nepal.

Rakyat mulai terasa mereka telah membuat pilihan yang salah kerana beberapa dasar serta slogan yang ditentukan oleh Moist - parti yang mendapat undi terbesar dalam pilihan raya umum pada November lepas - tidak langsung tergambar dalam tindak-tanduk pemimpinnya sekarang, atau tidak dapat dilaksanakan kerana tidak mendapat persetujuan dua parti lagi yang menjadi pakatan pemerintah.

Hal itu boleh difahami oleh Krishna Kunwar kerana penduduk di pedalaman Nepal tidak berpendidikan, tidak tahu-menahu tentang perlembagaan dan proses politik serta hidup dalam tekanan dan kemiskinan.

Pendidikan tidak diwajibkan di Nepal. Ibu tidak mahu menghantar anak ke sekolah kerana dianggap membazir waktu. Lebih baik ke sawah atau bekerja sebagai buruh. Maoist - yang dipimpin oleh seorang bekas guru - mengambil kesempatan daripada pemikiran seperti ini.

Setelah berkuasa, Maoist mahu pemerintahan tentera diganti oleh ketua baru. ''Mustahil untuk memenuhi tuntutan itu kerana Presidenlah yang berkuasa ke atas pelantikan dan pelucutan jawatan ketua tentera," kata Krishma Kunwar.

Kini, pejuang Komunis Maoist secara perlahan-lahan diserap sebagai tentera Nepal di bawah pengawasan Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu. Bagaimana mereka boleh terus berkiblat kepada fahaman komunis sedangkan tentera Nepal seharusnya melindungi kepentingan rakyat?

Seorang kakitangan awam, Pradip Kumar mahukan kehidupan yang lebih baik untuk meneruskan kesinambungan hidup sehariannya.

Kehidupan seharian di Nepal agak sukar, dan bertambah parah dengan suasana kias dan pulas politik yang tidak stabil yang telah berlarutan sejak pilihan raya pada November.

Katanya, gaji kakitangan awam berstatus eksekutif sepertinya cukup rendah, sekitar RM600 sahaja. Purata gaji di Nepal ialah RM300 sahaja - termasuk gaji guru.

Sejarah, politik dan pembangunan sosial yang panjang di Nepal merupakan perkara yang boleh di pelajari. Generasi muda di Malaysia boleh mempelajari apa sahaja yang berlaku di Nepal - khususnya jika mahu meramalkan apa yang akan berlaku di negara ini.

''Kini Nepal seperti negara tidak berkerajaan (no one land)," tambah Krishna Kunwar, ketika ditanya tentang kehidupan harian penduduk Nepal, pasca pemerintahan beraja hampir 100 tahun di negara itu.

Jauh di sudut hati kecilnya, masih rindu kepada raja yang berjiwa rakyat. ''Semuanya tidak jelas - kuasa eksekutif, legislatif dan politik tidak dapat membuat keputusan terhadap kepentingan dan isu keselamatan rakyat.

''Kuasa Presiden sering dicabar oleh Perdana Menteri - khususnya dalam aspek pemilihan dan pelantikan kuasa ketua tentera," kata Krishna Kunwar.

Isu Nepal bukan sekadar penghijrahan rakyatnya yang menjadi pengawal keselamatan di negara kita. Kita perlu belajar dalam memilih parti politik mana yang layak menubuhkan kerajaan.

No comments: